Isteriku, Metallica Mai Malaysia

snap011Laporan asal dari Laman Rasmi Metallica

Ke hadapan isteriku Mrs Speedrider,

Perkara: Metallica Mai Malaysia

Untuk pengetahuan pihak puan, telah heboh di sana sini ketika Metallica membuat pengumuman di laman webnya bahawa mereka akan membuat persembahan di Singapura.  Pada ketika itu, heboh di blog-blog superstar tempatan dan Singapura seperti Krenmaut, Ada Apa Dengan Ijau, Berteromber, Laga Kepala dan Ku Di Halaman Rindu (sebab depa ajalah yang rajin saya blogwalking) dengan entry-entry meracun dan tak kurang juga kecewa sebab tiket mahal, jauh, bla-bla-bla Lars Ulrich tua bangka tak best dan Trujillo ntahapapa semua tu.

2. Pada ketika itu, saya sedar bahawa pihak puan akan memveto sekeras-keranya plan tersebut dan saya sendiri sedar dan selalu lihat cermin hari-hari keadaan kewangan yang agak ketat menyebabkan impian nak ke Singapura umpama membakar air hendakkan abu.

3. Dengan pengumuman yang tidak tersangka (ada yang telah menjangka sebab Asian Tour ada banyak lagi tarikh free selepas Singapura) ini dari pihak Metallica, maka ia umpama kecik tapak tangan, padang bola mat metal/mat thrash/mat rock tadahkan. (termasuk mat K-Pop)

4. Saya bukanlah hendak bersikap kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi, tetapi ini merupakan satu peluang keemasan untuk mat-mat metal/trash/rock/dangdut/k-pop berada di Stadium Merdeka bersama-sama mendendangkan “Sad But True” bersama-sama James Hetfield. Bukan senang nak ada sekali. Silap-silap muka masuk youtube.

5. Untuk pengetahuan puan, kali terakhir Metallica mengadakan konsert paling dekat di Malaysia pun adalah pada 4 November 1993 (Selain dari Singapura pada 13 April 1993), iaitu 20 tahun lepas! Waktu tu, saya baru berusia 10 tahun dan masih setia menyaksikan Satria Baja Hitam di TV1. Bayangkan, mereka telah mempersembahkan lagu-lagu berhantu seperti Creeping Death, Harvester of Sorrow, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, Of Wolf & Man, The Unforgiven, Justice Medley, Bass Solo, Guitar Solo, Through the Never, For Whom the Bell Tolls, Fade to Black, Master of Puppets, Seek & Destroy, Battery, Nothing Else Matters, Wherever I May Roam, Last Caress, One dan Enter Sandman. Bayangkan puan, bayangkannnnnn (saya tahu puan tak dapat bayangkan sebab puan tak minat pun Metallica).

6.Apa-apa pun puan, saya mengharapkan belas ihsan pihak puan untuk melepaskan saya untuk menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri Kirk Hammet menggoreng gitar beliau bersama Goreng Pisang, tolonglah puan. (buat muka cute)

 

7. Saya sudahi permohonan rasmi saya ini dengan menyelitkan lagu “Nothing Else Matters” pada puan. Semoga pihak puan mempertimbangkan permohonan saya ini dengan sebaik-baik mungkin.

 

Yang Benar,

Peminat Metallica Sikit-Sikit Saja Tapi Nak Tengok Kirk Hammet dan James Hetfield. – speedrider

facebook comments:

2 Replies to “Isteriku, Metallica Mai Malaysia”

  1. mrs. ijau dah bagi pelepasan dgn syarat dia nak ikut (ikut smpi KL je, bkn ikut tgk konsert)
    Ijau D. Koceng recently posted..Bruce Dickinson – Anthology DVD

  2. Wife aku lain pulak….dia nak ikut sama tengok…hahaha…

Leave a Reply

CommentLuv badge