Tumbangnya UMNO

Maaf kali ni posting terang-terang berkisahkan politik. Tak suka boleh abaikan, jadi memang aku letak tajuk tu supaya yang taknak baca boleh skip awal-awal.

Selepas 9 May 2018, menyaksikan buat kali pertama lanskap politik Malaysia bertukar arah 180 darjah. Mengambil masa yang lama untuk aku tulis benda ni sebab dah macam mimpi, 35 tahun aku hidup dengan kerajaan Barisan Nasional, akhirnya buat kali pertama dalam sejarah selepas 61 tahun, BN kalah kepada pakatan pembangkang (sekarang kerajaan).

Bunga-bunga peralihan ini sebenarnya telah dapat dihidu pada PRU ke 12. Pak Lah ketika itu adalah Perdana Menteri, merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Pak Lah menang besar pada PRU ke 11 dan kalah besar pada PRU ke 12, menyaksikan Pak Lah berundur dan memberi laluan kepada Datuk Seri Najib. Datuk Seri Najib memimpin BN dan menyaksikan PRU ke 13, prestasi BN semakin merosot. Ada desakan untuk Najib berundur, kemuncaknya adalah pemecatan beberapa top gun UMNO atas dasar melanggar perlembagaan parti.

PRU ke 14 menyaksikan BN tumbang dan jangankan kata ahli UMNO, aku rasa penyokong tegar Pakatan pun terpinga-pinga dengan kemenangan bersejarah itu buat kali pertama 61 tahun sejarah pilihanraya di Malaysia.

Aku tinggalkan cerita pendakwaan 1MDB dan sebagainya terhadap Najib dan geng kerana stand aku tetap sama; yang salah tu sila hukum. Settle.

Cerita yang aku nak tekankan adalah pasca pilihanraya umum. UMNO, kali pertama selepas 1987 mengadakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden. Untuk rekod, pemilihan 2018 ini adalah yang kedua mengikut sistem terbuka; memberi peluang kepada perwakilan di peringkat bahagian membuang undi. Cara lama adalah dengan memilih perwakilan di peringkat bahagian untuk mengundi di UMNO pusat; PWTC. Jadi dalam cerita pemilihan ini, terima kasih Dato Sri Najib kerana memperkenalkan pemilihan terbuka ini untuk kali pertama pada tahun 2013.

Pemilihan terbuka ini memberikan peluang kepada setiap cawangan menghantar perwakilan masing-masing kepada 3 iaitu sayap Pemuda, Puteri dan Wanita.

  1. Puteri boleh mengundi kepimpinan Puteri dan Wanita Pusat.
  2. Wanita boleh mengundi kepimpinan Wanita Pusat
  3. Pemuda boleh mengundi kepimpinan Pemuda Pusat.

Pemilihan sayap telah dilakukan pada 23 Jun 2018, Sabtu. Ia menyaksikan Ketua Pemuda pertama yang pro-Islam dipilih, Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Aku menyokong penuh keputusan ini memandangkan UMNO perlukan roh asal parti untuk kembali bangkit di saat kekalahan ini. Cukup-cukuplah UMNO dibelenggu duniawi selama 72 tahun penubuhan.

Pemilihan kedua dilakukan pada 30 Jun 2018, Sabtu. Pemilihan terbuka ini melibatkan kepimpinan Bahagian dan Pusat.

  1. Setiap cawangan akan menghantar perwakilan di mana setiap ketua dan timbalan Cawangan, Wanita, Puteri dan Pemuda diberikan slot automatik sebagai perwakilan.
  2. Setiap sayap cawangan menghantar perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat cawangan. Biasanya 5 orang setiap sayap.
  3. Dalam pemilihan ini, jawatankuasa Bahagian dan Pusat akan dibentuk berdasarkan keputusan pemilihan perwakilan.

Dalam semua pemilihan, pilihan Presiden adalah yang paling sukar. Aku rasa semua ahli UMNO dah terbiasa dengan norma, Timbalan akan jadi Presiden. Dan kalau tengok sejarah lama, dah boleh diagak, siapa yang akan menjadi presiden mengikut turutan. Tetapi semua itu berubah sama sekali dengan kejadian sebelum dan selepas PRU ke 14.

Aku berpeluang menghadiri ketiga-tiga siri jelajah calon-calon hebat ini. Aku nak dengar sendiri apa janji mereka terhadap ahli UMNO, apa visi dan misi mereka untuk memulihkan UMNO dan apa strategi mereka untuk mengembalikan sokongan rakyat macam aku untuk kembali kepada UMNO dan BN.

Aku pendekkan cerita, pemilihan Presiden telahpun diadakan dan Presiden yang baharu telahpun dilantik. Secara peribadi, aku tak berkenan dengan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana beliau sekapal dengan Datuk Seri Najib; antara yang dikatakan punca kekalahan BN pada PRU-14.

Kekalahan Khairy Jamaluddin selaku calon favourite dan semestinya popular di kalangan bukan UMNO memberikan cakap-cakap yang luar biasa perbincangannya di media sosial 2 hari ni (sehingga aku menulis). KJ kelmarin menyalahkan Warlords dalam UMNO sebagai punca kekalahannya. Dikatakan ketua-ketua bahagian ini mempengaruhi dan memaksa perwakilan memberikan kemenangan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi.

📸: Page Khairy Jamaluddin @ Facebook

Bila jadi macam ni, automatik aku jadi geram. KJ masih dengan perangai menyalahkan orang lain. Sewaktu road show, beliau telah menyatakan untuk membantu Presiden walaupun kalah. Tetapi lain pula jadinya. Beliau telah ditawarkan untuk menjadi Setiausaha Agung UMNO kelmarin oleh Zahid Hamidi, tetapi beliau menolak. Popular di media sosial, tapi pada aku, tidak. Kata-kata dan janji beliau sewaktu roadshow telah memakan diri.

Berkenaan warlord; ini pun aku tak setuju. Aku mengambil langkah tak popular dengan tidak bersetuju dengan pilihan Ketua Bahagian aku memilih Zahid Hamidi. Confront dengan Ketua Bahagian secara berdepan bukanlah mudah, dalam politik, aku boleh kena ‘koyak’ terus. Nama aku dihentam terang-terang dalam mesyuarat perwakilan bahagian pada hari pemilihan, atas stage oleh Ketua Bahagian. Tetapi aku berterima kasih kerana Ketua Bahagian menerima pandangan aku yang kritis selaku Pemuda UMNO Bahagian. Perbincangan ini dilakukan secara tertutup sebelum hari pemilihan. Sekurang-kurangnya aku berpuas hati meluahkan apa yang aku rasa tak puas hati pada Zahid Hamidi, KJ dan Tengku Razaleigh dan perbincangan ini diterima oleh Ketua Bahagian aku walaupun nampak terang, aku menongkah arus. Dengan ini, aku rasa tindakan KJ menyalahkan warlords sebagai faktor kekalahannya adalah satu tindakan crybaby. Beliau patut sedar, popular di media sosial, belum tentu popular di kalangan perwakilan. Jujurnya, aku rasa KJ tak layak lagi memimpin UMNO sekarang kerana beliau agak liberal dengan stand conservative perwakilan UMNO. Percayalah, KJ ada 3 tahun lagi untuk buktikan dia layak memimpin UMNO pada pemilihan tahun 2021. Beliau ada banyak masa lagi untuk belajar dan bersikap lebih ‘Melayu Islam’ untuk memimpin UMNO. Itupun kalau dia setia pada parti dan tak jadi macam bekas Ketua Puteri yang tak kental sampai keluar parti. Kata nak bantu parti, buktikan. 3 tahun!

Pemilihan pada tahun 2021 adalah pemilihan sebelum PRU ke 15, jika KJ masih bersikap menyalahkan orang lain dan tidak constructive dalam parti, kemungkinan beliau dibayangi Timbalan Presiden yang baharu, Datuk Mohamad Hassan (Tok Mat Negeri 9) amat tinggi. UMNO perlukan anda, tetapi berubahlah sikit untuk jadi pemimpin nombor satu UMNO. Pi belajar pondok sat belajar agama dalam 3 tahun ni dan turun padang, kenal-kenal dengan ground members, bukan hantar campaign manager last minute.

Cukuplah luahan aku setakat ini. Aku rasa, tak pernah aku paksa kawan-kawan aku sokong UMNO. Di Facebook sendiri pun, Ketua Bahagian aku pun terkejut macam mana aku boleh kawan dengan ramai kawan-kawan yang bukan penyokong UMNO. Aku berkawan bukan pasal politik. Sokongan peribadi kawan-kawan tu ikut suka la apa pun. Serius, aku rasa sedih tengok kawan-kawan bergaduh sama sendiri disebabkan politik. Gila!

دالم باڽق٢ ڤيليهن ترڽات اينله ڤيليهن ڤاليڠ سوکر ڤرنه اکو تمڤوه. اکو هاڽ داڤت برتوکل اݢر ڤيليهن اکو اين تڤت اونتوق مڽاتوکن اݢامکو دان بڠساکو.

اکو ماهوکن ڤروبهن. اکو ماهوکن انق٢ بڠساکو چرديق ڤنداي. اکو ماهوکن ڤيمڤينن يڠ داڤت مڠڠکت اورڠ يڠ برعلمو اݢر داڤت برساما-سام بتولکن سبارڠ کخلافن يڠ اد.

اکو هارڤ داڤت برسام ڤيمڤينن يڠ داڤت مڽاتوکن سلوروه بڠسا ملايو اݢر براد د تاهڤ يڠ تيڠݢي سڤرتي تونتوتن اݢامکو. اکو برهارڤ اݢر اد اڠين ڤروبهن.

سکوزفيونس – ويندس اوف چاڽ.

facebook comments:

3 thoughts on “Tumbangnya UMNO

  1. UMNO IS DEAD!!! LONG LIVE THE UMNO!!!!!!111

    P.S: Bro… apa hang pakai baju Green Day? Lain kali pakai baju black metal!!!! Hang ni pun…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge