Malaysian Motorcycle Grand prix 2012 #3

21 Oktober 2012 – Race Day

Mengambil iktibar kena berjalan keliling track tahun lepas, tahun ni kami ambil keputusan untuk bertolak awal ke SIC seawal selepas solat Subuh. Alhamdulillah, kami berjaya dapat tempat parking berhadapan dengan foyer Welcome Center dan yang penting, tak perlu berpeluh berjalan mengelilingi track lagi! Heheheh.

 

Pada hari perlumbaan, aku sempat berjumpa sekejap dengan abang Lukman (pemilik blog Orang Kecil Orang Besar) dan anaknya; yang sekian lama aku ikuti. Rasanya perjumpaan terakhir aku dengan abang Lukman ialah di sekitar 2 tahun lepas. Tak sempat bersembang lama dan kedua-dua kami saling memahami, hari tersebut ialah hari perlumbaan, bukan hari TTS! Semoga kita dapat berjumpa lagi bang Man jika diizinkan, insya-Allah.

 

Aku mulakan dengan MotoGP – Kerana malang sekali, ia jatuh sebagai perlumbaan yang agak potong mood. Tahun ni, perlumbaan sekali lagi red flag (dihentikan) atas sebab keselamatan. Memandangkan tahun lepas red-flagged akibat kematian Simoncelli, tahun ni red flag adalah disebabkan hujan di mana kedukan ketika red flag menyaksikan Pedrosa di tempat pertama, Lorenzo di tempat kedua dan Stoner di tempat ketiga.

Walaupun tak dinafikan hujan lebat, namun sebagai pemerhati, rasanya ramai bersetuju dengan aku betapa Lorenzo dilihat sebagai ‘anak emas’ Dorna kerana perlumbaan ditamatkan setelah dia ‘memberikan’ isyarat akibat ujan lebat manakala tiada isyarat daripada pendahulu perlumbaan; Dani Pedrosa dan pesaing Lorenzo untuk tempat kedua; Casey Stoner. Semua orang jelas betapa Stoner semakin menghampiri Lorenzo dan berkemungkinan besar akan memintas Lorenzo jika perlumbaan dilanjutkan. Jelas riak muka marah Dani Pedrosa ketika beliau masuk di pit.

Keputusan di Sepang menyaksikan Pedrosa menghampiri kejuaraan Lorenzo dengan jarak perbezaan 23 mata sahaja, namun ketika artikel ini ditulis, Lorenzo telah diisytiharkan juara di Philip Island (Australia) apabila Lorenzo menduduki tempat kedua dan Dani Pedrosa terbabas. Nasib kau amat baik la Lorenzo…. Well… Aku memang tak suka Lorenzo, jadi memang aku bias dalam penulisan ni. Hahahahha!!!

 

Kategori Moto 2 pada tahun ni adalah kategori yang sangat best untuk ditonton. Hafizh “Pescao” Syahrin Abdullah telah membuatkan satu dunia melopong melihat prestasinya sebagai seorang ‘wildcard rider’ dan memahami mengapa gelaran “Pescao” (ikan kecil) yang diberikan oleh rakan-rakannya di kejohanan CEV Buckler di Sepanyol dibuktikan.

 

Hafizh adalah pelumba terpantas pada sessi FP2 di mana dia adalah pelumba terakhir yang membuat catatan masa di litar basah. Sejurus itu, timbulnya perkataan “pescao” adalah selepas banyak media membuat temuramah dengannya. [baca]

Pada mulanya, aku dan kawan-kawan agak skeptikal dengan keputusan FP2 tersebut kerana pada FP3 dan Qualifying Race, Hafiz tercorot ke tangga belakang. Manakala untuk pusingan kelayakan, Hafizh bermula di petak yang ke-27 dalam litar kering. Timbul persoalan samada Hafizh memang bernasib baik di litar basah sahaja ataupun pelumba-pelumba Moto 2 yang lain belum menunjukkan kemampuan yang sebenar.

 

Kredit Gambar Untuk FB Malaysian Cub Prix

Pada hari perlumbaan, Hafizh yang bermula pada petak ke-27 diharap mampu memperbaiki kedudukannya sebagai wild card rider berbanding kedudukan pada tahun lepas. Pada waktu perlumbaan Moto2 hampir berlangsung, hari mula hujan. Hari yang diharap-harapkan oleh Hafizh telah tiba. Dia dilihat memintas satu persatu pelumba di hadapannya sehinggakan Marc Marquez #93 (dinobatkan sebagai juara Moto 2 di Philip Island, seminggu selepas itu) pun diayam-ayamkan di litar basah di Sepang. Daripada petak 27, Hafizh memukau dunia dengan menjadi race leader dan berada di hadapan Alex De Angelis (bekas pelumba MotoGP) selama beberapa lap. Keadaan litar menjadi riuh-rendah, umpama menonton final bolasepak Kelantan vs ATM baru-baru ini.

 

Kredit gambar dari FB Malaysian Cub Prix

“Anak Malaysia jadi race leader woi!”. Ia bukannya satu perkara yang mudah untuk seorang wildcard rider menjadi pendahulu perlumbaan kepada mereka yang lebih berpengalaman (full time racer Moto2) dan jangan lupa, dia bermula daripada petak ke-27!!! Kami sekali lagi berharap agar Hafizh dapat naik podium, dan kalau dia dapat #1 di Sepang… Taktau nak kata apa la kami!!! Akhirnya, Hafizh berjaya mendapat kedudukan ke-4 setelah perlumbaan dihentikan pada lap yang ke-15 akibat hujan semakin lebat. Apa pun, sehingga artikel ini ditulis, Hafizh mencatat sejarah sebagai seorang pelumba Wildcard pertama dalam Moto2 yang berjaya mendapat kedudukan terbaik (No. 4) dalam perlumbaan dan seterusnya mendapat mata perlumbaan (13 mata). Hafizh turut mencatat masa terpantas untuk kategori Moto2 di Sepang dan rekod ini sekurang-kurangnya akan bertahan dalam rekod MotoGP selama setahun dari sekarang [Rekod Masa Rasmi dari MotoGP]. Bila tua-tua nanti, bolehlah Hafizh canang pada cucunya – “Marc Marquez pun atok kitai kat Sepang tau!”

 

Moto3; satu kategori baru yang diperkenalkan dalam MotoGP yang menggantikan kategori 125cc (2 strokes). Dengan jentera berkapasiti 250cc, 1 silinder dan 4 lejang, ia menjanjikan satu kategori dan persembahan yang baru dari semua pelumba (banyak dari zaman 125cc). Antara pelumba yang dinantikan oleh peminat-peminat dunia perlumbaan Malaysia adalah pelumba sepenuh masa dari Malaysia sendiri, Zulfahmi Khairuddin (Pasukan Air Asia-SIC-Ajo).

 

Kredit gambar dari FB Malaysian Cub Prix

Zulfahmi telah menunjukkan semangat perlumbaan yang tinggi dalam beberapa siri perlumbaan sebelum ini dan beberapa kali terlepas podium, dengan kedudukan terbaik yang diperolehi pada tahun ini di kelas Moto3 adalah tempat ke-4 di litar Estoril, Portugal.

 

Kredit gambar dari Zulfahmi’s Official Fanpage

Di Sepang, kami cukup gembira apabila Fahmi berjaya mendapat kedudukan Pole (kedudukan starting grid pertama) pertama dalam kariernya sebagai pelumba motorsikal di peringkat dunia, di home circuit; Sepang. Ya, kami semua cukup cukup gembira. Impian podium yang kami tunggu selama ini hampir menjadi kenyataan.

 

Gambar dari FB Zaki Ismail. Helmet Zulfahmi di pejabat Shoei Japan

Owh, kalau bertanya pasal helmet, ia dihasilkan oleh Zaki Ismail. Zaki turut menghasilkan helmet dengan kemasan chrome untuk Hafizh Syahrin pada Malaysian Motorcycle Grand Prix 2012. Helmet Zulfahmi dengan kemasan chrome pertama kalinya dipertontonkan di litar Misano. Salah satu helmet ini telahpun disimpan di pejabat Shoei Japan. Haippppppp!! Gambatte Zaki! (kasik diskaun sikit aku nak hantar buat paintjob nihhhhhhh….)

 

Zulfahmi bermula dengan baik dan sepanjang menjadi race leader, dia mendapat sorakan dan sokongan penuh setiap kali melintasi main grandstand. Aku dah bersorak hampir hilang suara, bukan senang perasaan gemuruh dan bangga melihat Zulfahmi memimpin perlumbaan dan diberikan tentangan hebat oleh juara dunia Moto3 yang pertama; Sandro Cortesse. Tunggangan Zulfahmi kali ni amat konsisten, cuma kesilapan di 2 selekoh terakhir memberikan peluang kepada Sandro Cortesse memintas Zulfahmi dengan kelebihan 0.028 saat saja. Atau dalam bahasa kampungnya, Zulfahmi kalah setengah tayar saja!

Pencapaian tempat ke-2 merupakan satu pencapaian yang amat besar kepada pelumba Malaysia. Dan yang pastinya, aku rasa cukup berbaloi ke Sepang pada tahun ni setelah melihat Zulfahmi berjaya menaiki podium buat pertama kalinya di litar sendiri.

facebook comments:

4 thoughts on “Malaysian Motorcycle Grand prix 2012 #3

  1. Pingback: Kejutan Pescao #55 | Speedrider Networks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge