Kau Pergi Jua

Mak tinggalkan kami pada 11/12/2017 pukul 12.40 tengah hari. Lebih kurang sejam selepas kami bawa balik dari hospital.

10/12/2017 – Hospital Seberang Jaya.

Aku teman kak Idah di hospital semalaman. Sepanjang mak sakit, mak tak pernah minta anak-anak mak jangan pergi jauh. Kali ni mak minta. Jadi aku putuskan untuk tidur saja di surau hospital.

11/12/2017 – Wad 6, HSJ.

Kak Idah panggil aku naik pukul 7.30 pagi sebelum abang-abang aku yang lain sampai. Doktor dah advise yang tiada lagi ubat dan prosedur boleh dibuat dan ubat yang dipam masuk melalui central veinus tube dah sampai tahap maksimum; mengakibatkan kaki dan tangan mak menjadi biru.

Bukan mudah nak cakap dekat mak dan tanya nak balik atau tak ke rumah dan terangkan yang semua ubat dan tube oksigen akan ditanggalkan. Saat-saat macam tu pun mak boleh tanya aku cukup duit atau tak, kalau tak cukup pi ambik kat abang. Tak tau berapa kali air mata aku tumpah pada pagi 11/12/2017 tu.

Abang Fauzi berapa kali cakap betapa serba salahnya dia ketika nak bagi keputusan bawa balik ke rumah. Second opinion juga diambil dari doktor yang selalu merawat mak, Dr. Azhar dari Klinik Putra, Penaga. Setiap penerangan samada dari doktor hospital dan klinik hanya mampu aku sambut dengan air mata.

Bukan senang nak buat keputusan. Hati nak mak sihat dan dalam masa yang sama, tak nak mak menderita bergantung pada ubat, jarum dan tube pernafasan. Bukan mudah. Berat sekali. Sangat berat. Aku tak pasti Kak Idah menangis berapa kali pagi tu sebelum aku sampai ke wad.

Kami bawa balik mak tersayang lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pak Njang sekeluarga dari Taiping dah sampai di rumah. Semua berada di keliling mak, biar dia selesa. Aku meminta cucu-cucu mak yang free agar bergilir baca surah Yaasin; sebenarnya hal ni mak pernah cakap dekat aku waktu dia sihat; “Mak nak anak-anak mak mengaji bila mak dah tak ada nanti”. Permintaan tu sememangnya dah lama, aku masih kecil tapi benda tu adalah yang paling first aku ingat bila dalam situasi tersebut.

Memandangkan dah ramai di keliling mak, aku putuskan untuk teruskan baca Yaasin. Sekitar 12.30 nampak suasana agak kelam-kabut tapi aku teruskan baca Yaasin. Aku terhenti bila terdengar Paknjang berkata, “Innalillah hiwainna ilaihirojiun. Mak hangpa dah takda, tengok sat jam pukul berapa? 12.40.”.

Aku gagahkan diri uruskan mak. Aku tahan air mata. Ammar, cucu mak yang banyak membantu mak di rumah menangis di dapur. Aku cuma boleh tenangkan dan tahan air mata. Abang Fauzi, Kak Rohaya, Kak Idah, Kak Fauziah, Abang Padin, Kak Ija dan Abang Not masing-masing uruskan jenazah mak. Entah macam mana aku boleh arahkan “pi ambil minyak, sapu kat semua sendi mak dan perbetulkan kedudukan mak”. Spontan. Entah macam mana semua tu datang.

Aku uruskan bahagian kaki mak. Kaki mak yang telah membawa aku jauh berjalan ke rumah adik beradik mak. Pernah sampai ke rumah arwah Mak Lang di Klang melalui kereta api dan bas ekspress ke Taiping (stesen lama di Simpang dan Pekan) dan Kamunting untuk ke rumah Mak Tam dan Pak Njang adalah mainan. Mak tak pernah lupa bawa aku dulu dan semuanya masih aku ingat. Aku urut minyak zaitun di pergelangan kaki mak dan teringat susah-payah mak bawa aku ke semua rumah adik beradik mak yang mana dia nak bawa dulu.

Kami putuskan untuk simpan jenazah mak secepat mungkin. Inipun aku usulkan pada abang Fauzi selaku abang sulung; “Mak dah lama sakit, kita uruskan secepat yang boleh, boleh tak?”. Abang Fauzi bersetuju, no delay.

Hubungan aku dengan mak amat unik. Mak adalah kakak kepada ayah aku. Sebenarnya mak adalah ibu saudara aku yang paling sulung. Mula menjaga dan mengasuh aku sejak umur aku 3 bulan. The rest is history, mereka sekeluarga juga adalah adik-beradik aku sampai bila-bila.

Kami simpan jenazah mak di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Puyu selepas solat jenazah pukul 5.30 petang, sebelah kubur Ayah Che Abu. Ramai yang datang mak, ramai sangat. Cucu-cucu menakan mak pun ramai yang datang. Kami adik-beradik memang tak sempat nak inform pada semua orang. Bukan senang nak selesaikan semuanya dari pukul 1 sampai Asar. Harapnya orang yang kami inform dapat sampaikan kepada yang lain.

Hilanglah permata hati kami, peluang pahala kami dalam menjaga mak dan ayah. Semoga semua kesalahan kami diampunkan dan makan-minum kami dihalalkan. Doa kami anak-anak dan cucu-cucu takkan putus untuk ayah dan mak. Terasa sangat kehilangan, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kami redha.

Dalam kenangan,

Haji Abu Bakar Bin Nayan 1926-2005 (79 tahun)

Hajjah Chaah/Che Ha Binti Mohamed/Ahmad 1936-2017 (81 tahun)

facebook comments:

3 thoughts on “Kau Pergi Jua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge